Switching adalah merupakan salah satu strategi di dalam pelaburan unit amanah. Ia adalah kemudahan yang diberikan oleh syarikat pengurusan unit amanah (UTMC) kepada pelaburnya. Switching boleh dirujuk sebagai proses memindahkan pelaburan dari satu dana pelaburan ke dana pelaburan yang lain di bawah syarikat pengurusan yang sama.
Apa beza switching dengan repurchase?
Switching tidak sama dengan menjual balik saham (atau repurchase). Bila anda melakukan switching, anda masih lagi mempunyai pegangan saham, tetapi bila anda melakukan repurchase, anda tidak lagi memiliki apa-apa pegangan saham. Caj yang dikenakan juga tidak sama untuk kedua-dua jenis transaksi tersebut. Caj ini adalah berlainan mengikut syarikat yang menguruskan unit amanah. Ada yang mengenakan caj tetap, ada yang mengenakan caj mengikut peratus. Ada juga syarikat yang menghadkan kemudahan switching dalam setahun, dan ada juga yang memberikan khidmat tersebut secara percuma.
Bila perlu dilakukan switching dan kenapa?
Switching dilakukan apabila berlaku perubahan di dalam senario pasaran saham. Tujuan switching dilakukan adalah untuk mengekalkan keuntungan yang diperolehi (atau profit locking) ataupun untuk mengurangkan kerugian yang ditanggung (atau stop loss). Oleh kerana mungkin terdapat kos atau caj yang terlibat apabila melakukan switching, bilangan switching yang dilakukan perlu dihadkan supaya keuntungan anda dapat dimaksimakan. Berapa kerapkah switching yang perlu kita buat? Ia bergantung kepada keadaan pasaran saham semasa. Cuma, perlu diingatkan bahawa ada kos atau caj yang terlibat. Oleh itu, minimakan kekerapan switching dana anda. Contoh switching boleh dilihat seperti berikut:
(Nota : Gambarajah ini adalah sekadar ilustrasi sahaja)
Bagaimana jika anda ingin membuat switching?
Sebagai pelabur, anda boleh membuat switching menerusi kaedah-kaedah berikut:
- melalui ejen / perunding unit amanah anda;
- melalui portal online yang disediakan oleh UTMC anda;
Namun, harus diingat bahawa kemungkinan akan ada caj atau kos yang terlibat apabila anda melakukan switching. Anda boleh semak polisi switching di dalam prospektus dana yang disediakan oleh UTMC.